Rebah Di Tirai Cinta ( Bab 22 )
BAB 22
“KAK Laila dah bangun?” tegur Aulia sambil tangannya lincah meletakkan bihun goreng di atas meja makan. Dia memandang wajah kakak iparnya yang cantik dengan senyuman manis terukir di bibir.
Laila memisat-misatkan matanya. Dia cuba mengamati di mana dia berdiri saat ini.
“Hmmm…dah pukul berapa sekarang?” soal Laila menghampiri Aulia.
“Dah pukul Sembilan, kak. Abang tak ada. Dia ke pantai. Kalau Kak Laila nak makan, jomlah.” Ajak Aulia dengan ramah.
Laila hanya mencebik. Dia memandang juadah yang tersedia di hadapan mata. Hanya bihun kosong dan telur goreng. Langsung tidak membangkitkan seleranya.
“Tak payahlah. Aku makan dekat luar. Abang kau pergi pantai mana?” soal Laila dengan bahasa yang agak kasar.
“Pantai depan sana tu. Biasanya abang ke pantai sebab nak tangkap ikan dengan Abang Muaz. Akak nak pergi jenguk abang ke? Aulia boleh tunjukkan tempatnya,” ujar Aulia.
Laila terdiam sejenak. Kalau aku duduk dalam rumah ni pun, apa yang aku boleh buat? Dahlah panas. Makanan pun tak menyelerakan aku. Lebih baik aku keluar. Mamat ni pun sekor, kata nak balik hari ni. Tapi dia pulak merayap entah ke mana. Bebel hati Laila bengang.
“Boleh jugak. Aku nak mandi dulu.” Balas Laila.
“Errr…akak ada baju nak salin ke? Kalau tak ada, Aulia boleh pinjamkan baju Aulia…” ujar Aulia takut-takut.
Laila mengerling. Dia mendekati Aulia. Wajah adik iparnya itu direnung lama.
“Kau rasa aku nak pakai ke baju kau yang murah tu?” soal Laila sambil menolak bahu sedikit bahu Aulia.
Aulia menelan air liur. Wajah bengis Laila menakutkan dirinya. Aku tanya pun salah ke? Soal Aulia dalam hati.
“Aulia Cuma…cumaa.. tanya je. Kalau Kak Laila tak nak, tak mengapa…” balas Aulia tergagap-gagap. Dia menundukkan pandangan.
Laila menghela nafas panjang. Wajah keruh Aulia menjentik hatinya. Entah mengapa sejak dua menjak ini, hatinya cepat tersentuh. Apatah lagi apabila bersama dengan Syahid. Seringkali kata-kata lelaki itu menyentuh hatinya.
“What ever. Aku nak pergi mandi dulu. Naik mandi, aku nak pakaian ada atas katil!” ucap Laila lalu berlalu.
Kening Aulia bertaut. Aku salah dengar ke ni? Lantas bibirnya mengukir senyuman.
DAHI Muaz berkerut apabila melihat figura seorang lelaki yang amat dikenalinya sedang duduk di atas batang pokok yang tumbang. Rasa macam kenal. Tapi takkanlah. Detik hatinya lalu menghampiri lelaki yang sedang duduk termenung.
“Syah?!” sergah Muaz lalu menepuk bahu Syahid yang sedang leka termenung.
“Hoi!” terjerit kecil Syahid dibuatnya akibat terkejut. Dia mendongak.
“Kau rupanya, Muaz. Buat terperanjat aku je.” Balas Syahid kemudian melebarkan pandangannya ke dada laut yang terbentang.
“Patutnya aku yang terperanjat. Hujan tak ribut tak, tiba-tiba terjengul muka kau kat kampung ni. Apa kes?” soal Muaz kemudian melabuhkan punggungnya di sebelah Syahid.
“Aulia telefon aku semalam, dia cakap mak aku sakit. Itu aku tergesa-gesa balik kampung ni,” jawab Syahid tenang.
“Dengan isteri kau?” soal Muaz lagi.
Syahid mengangguk kecil. Dia menarik nafas panjang dan menghela perlahan.
“Mana dia? Tak nampak pun.” Ujar Muaz sambil matanya melilau-lilau mencari kelibat isteri Syahid.
“Masa aku keluar tadi dia tengah tidur. Ada kat rumahlah tu. Dia pun tak sihat juga,” balas Syahid.
Muaz terdiam. Dia merenung wajah Syahid dengan lama. Dia dapat melihat wajah lelaki semakin kusut. Ke mana ketenangan yang sering menghiasi wajah kacak itu? Soal hati kecil Muaz.
“Kau ada masalah ke, Syah? Aku tengok macam ada sesuatu yang kau sembunyikan je…” teka Muaz.
Syahid tersenyum hambar. Dia menggelengkan kepalanya. Apa lagi yang hendak dikatakan? Masalahnya dengan Laila memang takkan pernah habis. Sehingga sekarang Syahid buntu memikirkan penghujung kisahnya dengan Laila yang tidak mahu berubah.
“Tak ada yang perlu aku sembuyikan pun sebab semuanya dah terzahir.” Ucap Syahid.
“Aku tahu masalah kau tak selesai lagi tapi apa yang boleh aku katakan yang ini adalah ujian untuk kau. Laila tu bukan setakat ujian yang Allah kirimkan pada kau tetapi dia juga anugerah…”
“Anugerah apa macam tu? Macam singa betina…” potong Syahid sambil mencebikkan bibirnya.
Muaz ketawa kecil.
“Singa betina itulah pilihan Allah untuk kau tau. Kalau dia macam singa, kau kenalah jadi penjaga singa tu. Kau janganlah ikut sama jadi singa nanti habis kena baham.” Gurau Muaz sambil ketawa.
“Aku dah cuba, Muaz. Malah aku dah keluar dari rumah dia. Tapi perangai dia tetap tak berubah. Aku tak kaya jadi dia takkan pandang orang miskin macam aku,” ujar Syahid merendah diri.
Muaz menepuk belakang Syahid dengan lembut. Dia tersenyum manis.
“Kau buatlah dia pandang kau. Muka kau aku tengok boleh tahan handsome. Bukannya aku tak tahu ramai anak-anak dara kampung ni yang suka dekat kau tapi si Sue tu juga yang kau pandang. Sekarang, kau dah kahwin. Dah ada isteri, jadi tugas kau sekarang pikat hati dia supaya jatuh cinta dengan kau. Itu pun kalau kau sayangkan isteri kau tulah,” balas Muaz memberi buah fikiran.
“Sayang? Entah. Aku pun tak tahu. Tapi aku tetap terima dia sebagai isteri aku walaupun aku tahu dia tak pernah terima aku sebagai suami.”
“Kau jangan mengalah, Syah. Kau lelaki dan kau juga seorang suami. Kalau kelemahan lelaki itu adalah wanita, kenapa lelaki tidak boleh kuat untuk seorang wanita? Dia isteri kau. Kau berhak sepenuhnya pada dia. Terpulanglah pada kau untuk mencorakkannya,” nasihat Muaz dengan senyuman.
Syahid hanya menganggukkan kepala. Dia memandang wajah Muaz sekilas.
“Kau dengan Su macam mana?” soal Syahid mengalihkan topik perbualan.
“Macam mana apa?” soalan dibalas soalan.
“Takkan tak ada apa-apa antara kau dengan Su? Bukan ke umi dan abah kau nak jodohkan kau dengan Su ke?” soal Syahid lagi.
Giliran Muaz pula yang mengeluh. Dia meraup wajahnya ke belakang.
“Aku tak sanggup nak khianati kau, Syah. Aku tahu kau sayangkan dia. Su pun masih sayangkan kau. Takkan aku sanggup nak paksa dia kahwin dengan aku sedangkan hati dan fikiran dia masih ada dengan kau,” jelas Muaz.
“Kau jangan risau pasal aku, Muaz. Kau fikir tentang diri kau sendiri. Memang aku sayangkan Su tapi jodoh tak menyebelahi kami. Aku dah berkahwin sekarang dan tak mungkin aku akan kahwin lagi. Cukuplah aku pening dengan kerenah Laila. Aku tak mahu tambah beban kepala aku lagi. Lagipun aku rasa hanya kau sorang yang layak untuk Su. Kau tolong jaga dia untuk aku, boleh? Aku hanya boleh menyayangi dia sebagai seorang adik je, Muaz.” Ujar Syahid sambil bermain dengan jari-jemarinya.
Kecewa. Itulah yang dirasakan apabila tidak dapat bersama dengan orang yang dicintainya. Walaupun perit namun, Syahid tetap redha dengan ketentuan Allah. Perancangan Allah adalah yang lebih baik. Pujuk hatinya setiap kali mengenangkan Sufiya.
“Aku tak layak untuk Su, Muaz. Dia tak cintakan aku. Dia cintakan kau…” balas Muaz.
“Hanya kau je yang dapat menjaga dia, Muaz. Aku percayakan kau. Aku akan lebih gembira jika dia dengan kau dan bukannya lelaki lain. Lagipun mak Su sukakan kau.” Ujar Syahid dengan senyuman dibuat-buat.
Muaz terdiam. Buat seketika dia tidak membalas kata-kata Syahid sebaliknya matanya dialihkan pada dua orang wanita yang sedang berjalan ke arah mereka berdua. Matanya dikecilkan untuk melihat wajah wanita tersebut.
“Syah, cuba kau tengok kat sana. Tu Aulia kan? Siapa sebelah Aulia tu?” soal Muaz sambil menuding jari ke arah dua gadis tersebut.
Syahid mengalihkan pandangan ke arah yang ditunjukkan oleh Muaz. Dahinya berkerut apabila melihat seorang gadis yang kelihatan ayu dengan baju kurung tersarung di tubuhnya yang tinggi lampai. Walaupun gadis itu tidak mengenakan tudung seperti Aulia tetapi wajah itu kelihatan ayu dengan rambutnya yang panjang dilepaskan. Rambut itu kelihatan berombak ditiup angin pantai.
“Laila…” desis Syahid lalu dia bangun. Matanya tidak lepas menatap wajah Laila dan Aulia yang semakin menghampiri.
“Assalamualaikum, abang, Abang Muaz…” sapa Aulia dengan senyuman.
“Waalaikummusalam, ada apa Aulia cari abang? Siapa gadis melayu terakhir sebelah Aulia tu? Cantik betul. Dah berpunya ke belum?” soal Syahid bergurau. Dia mengangkat-angkat kening pada Laila yang menjeling benci.
“Gadis sebelah Aulia ni dah berpunya. Melepaslah abang…” sambung Aulia turut bergurau. Dia ketawa sambil menutup mulutnya.
Manakala Laila hanya menayang muka selamba. Dia mengibas-ngibas wajahnya kerana bahang mentari membuatkan kulitnya terasa perit.
“Hai, nama saya Syahid. Nama awak?” soal Syahid sambil menghulurkan tangan kanannya pada Laila.
Muaz dan Aulia menghamburkan tawanya melihat telatah nakal Syahid. Dengan isteri sendiri pun nak mengurat ke? Apalah Syahid ni. Detik hati Muaz.
“Jangan nak mengada-ngada. Bila nak balik Kuantan? Kata nak balik pagi ni.” Laila bersuara.
Syahid kembali menjatuhkan tangannya. Dia memandang wajah Aulia dan Muaz silih berganti. Muaz dan Aulia yang faham dengan isyarat Syahid akhirnya meminta diri untuk meninggalkan Syahid dan Laila.
“Awak tidur pagi tadi, saya tak nak kacau. Kita balik esok jelah, boleh?” soal Syahid. Dia kembali melabuhkan punggungnya di tempat duduknya tadi.
“Esok? Kau ingat aku ni hadap sangat ke nak duduk kampung kau ni lama-lama? Aku rimas tahu tak? Aku nak balik!” tegas Laila.
Syahid menayang wajah selamba.
“Kunci kereta ada dekat rumah. Kalau awak nak balik, awak balik sendiri. Bukannya awak tak boleh nak drive,” ujar Syahid bersahaja.
Laila terdiam. Dia nak suruh aku balik sendiri? Habis tu dia?
“Kau yang bawak aku ke sini, takkan kau nak suruh aku balik sorang-sorang. Banyak handsome muka kau. Aku tak kira kau kena bawak aku balik hari ni jugak!” Laila masih berdegil.
“Kalau saya tak nak?” soal Syahid sambil memeluk tubuh. Wajah Laila ditatap lama. Dia menikam tepat ke dalam anak mata Laila.
Laila menggelabah. Dia mengalihkan pandangan ke tempat lain. Jantungnya berdetak tiba-tiba.
“Aku…aku….” Laila kehilangan kata apabila Syahid bangun dan berdiri tegak di hadapannya. Anak mata lelaki itu tidak lepas daripada merenung anak matanya membuatkan Laila nanar seketika. Dia tidak keruan.
“Aku apa?” soal Syahid lembut. Dia mengangkat dagu Laila dengan lembut. Rambut Laila yang ditiup angin diselitkan di celah telinga.
Jantung Laila kembali menyambut debaran yang maha hebat. Dia menelan air liur yang terasa kelat. Tiba-tiba saja dia kehilangan kata-kata. Renungan Syahid telah memukau hatinya.
“Awak tak keliling kampung pun lagi. Dengan ibu pun awak tak kenal lagi. Adik-adik saya pun nak kenal dengan awak jugak, jadi kita balik esok jelah. Lagipun hari ni saya nak ke laut. Dah lama saya tak pergi tangkap ikan. Rindu pulak rasanya,” balas Syahid masih lagi dengan bicara lembut. Pipi Laila dielus dengan lembut.
“Errr…kau…aku..yelah. Ikut suka kaulah.” Balas Laila tiba-tiba.
Laila menggigit bibir. Macam mana aku boleh setuju je ni? Patutnya aku berkeras dengan dia. Detik hati Laila.
Syahid tersenyum manis. Perlahan-lahan, dia mencapai jari-jemari Laila sebelum jemari runcing itu digenggam lembut.
“Awak nampak cantik dengan baju kurung. Macam model gadis melayu pulak. Saya suka tengok awak macam ni. Sangat ayu,” ujar Syahid sambil memuji.
Laila menundukkan wajahnya. Tiba-tiba saja dia tersipu-sipu malu. Pipinya yang putih gebu sudah bertukar kemerah-merahan. Pujian daripada Syahid membuatkan dia terawang-awangan.
‘Laila, apa yang dah jadi dengan kau ni? Takkan cepat betul kau cair dengan lelaki ni. Come on, Laila. Wake up!’ jerit hati Laila.
Laila tersentak. Lantas, dia menarik jari-jemarinya daripada pegangan Syahid. Dia memeluk tubuh.
“Kau tak payah nak puji aku lebih-lebih. Kau ingat aku suka pakai semua ni? Rimas tahu tak? Kali ni aku bagi peluang pada kau. Lain kali, jangan harap aku nak ikut cakap kau!” ujar Laila cuba berkeras. Namun, suaranya lembut kedengaran di telinga Syahid walaupun bahasa gadis itu masih lagi kasar.
“Baiklah, Cik Laila Ibtisam. Saya nak ke laut ni. Awak pergilah balik. Bahaya awak merayau dekat pantai ni sorang-sorang,” ujar Syahid kemudian dia bangun.
Kain pelekat yang diselempangkan di bahunya, ditarik keluar kemudian dililit di kepalanya. Laila yang masih berdiri di situ memerhatikan setiap perlakuan Syahid. Lelaki itu nampak kacak walaupun hanya memakai t-shirt lusuh dan berseluar jeans. Wajah itu tampak tenang dengan senyuman yang tidak lekang daripada bibirnya.
“Abang Syah!” laung satu suara mengejutkan Syahid dan Laila.
Syahid berpaling apabila namanya dipanggil. Serentak, bibirnya mengukir senyuman apabila melihat Sufiya yang kelihatan ayu berbaju kurung dan bertudung sedang berjalan ke arahnya. Gadis itu tersenyum manis sambil tangannya membimbit beg plastik.
“Su buat apa dekat sini?” soal Syahid dengan senyuman.
Dia melangkah menghampiri bot yang akan digunakan untuk ke laut nanti. Laila yang berdiri di belakangnya tidak diendahkan.
“Su baru balik dari rumah abang beli nasi lemak. Lepas tu datang ke sini, ingatkan nak beli ikan segar. Tapi satu bot pun tak sampai lagi. Su nampak abang, itu yang Su panggil abang. Abang nak ke mana ni? Nak turun laut ke?” soal Sufiya dengan wajah yang ceria.
“Haah, abang nak turun laut. Lama tak tangkap ikan. Rindu pulak. Nanti kalau abang dapat tangkap ikan, abang mintak Aulia hantarkan ke rumah Su, ya?” ujar Syahid sambil menolak botnya ke gigi air.
Laila yang melihat perbualan antara Sufiya dan Syahid hanya mencebikkan bibir. Tiba-tiba saja hatinya berbahang panas apabila melihat Syahid dan Sufiya berbalas pandangan sambil tersenyum manis.
‘Bukan main lagi kau senyum. Mentang-mentang minah ni cantik, aku kat depan ni pun kau tak nampak. Dasar lelaki miang!’ marah Laila dalam hati.
“Ehem-ehem!” Laila berdeham.
Syahid memandang sekilas pada Laila sebelum matanya kembali memandang wajah Sufiya.
‘Dia boleh buat derk je? Ni yang buat aku angin ni!’ bentak Laila dalam hati. Dia bercekak pinggang.
“Ehem-ehem!” kali ini Laila berdeham dengan lebih kuat. Dia cuba menarik perhatian Syahid namun lelaki itu masih leka bercakap dengan gadis bertudung hitam itu.
“Ini yang buat aku sakit hati ni. Ingat aku tunggul ke apa?” omel Laila sendirian. Dia menguak rambutnya yang menganggu pandangan.
Syahid sengaja tidak mengendahkan Laila. Dia dapat melihat wajah Laila yang cemberut melalui ekor matanya. Hatinya bagaikan digeletek mendengar Laila berdeham. Nak tarik perhatian akulah tu. Desis hati Syahid.
“Su balik dululah, bang. Nanti kalau terserempak dengan mak, teruk Su kena membebel. Insya-Allah kita jumpa lagi,” ujar Sufiya.
Syahid hanya menganggukkan kepala. Dia melangkah ke dalam bot dan membetulkan pukat yang agak kusut.
“Baiklah. Su jaga diri baik-baik. Assalamualaikum,” balas Syahid dengan senyuman manis.
“Waalaikummusalam,” jawab Sufiya turut tersenyum.
Buat seketika dia memandang Laila yang berdiri tanpa bersuara. Dia tersenyum dan menganggukkan kepala pada Laila namun senyumannya hanya dibalas dengan jelingan oleh Laila. Sufiya tertunduk dan meneruskan langkah.
Laila mencebik apabila kelibat Sufiya menghilangkan diri. Dia kembali menatap wajah Syahid yang sudah siap sedia untuk turun ke laut. Lalu, Laila melangkah ke arah Syahid. Dia melompat masuk ke dalam bot.
“Eh, awak buat apa ni? Turun dari bot sekarang!” arah Syahid. Dia terkejut dengan tingkah Laila yang tiba-tiba.
“Tak nak! Bukan main lagi kau kan kalau jumpa dengan perempuan. Entah-entah kau nak sangat pergi ke laut ni sebab nak jumpa perempuan simpanan kau dekat tengah laut tu kan?!” sergah Laila geram. Dia menyanggul rambutnya yang terasa menganggu pandangan.
Syahid menahan bibirnya daripada meletuskan tawa. Wajah Laila yang merah padam membuatkan dia mengulum senyum.
“Ada, ramai sangat perempuan simpanan saya kat tengah laut tu. Awak nak tahu tak apa nama perempuan simpanan saya tu?” soal Syahid dengan muka segaja diseriuskan.
Laila tidak menjawab. Dia mendengus.
“Yang paling cantik nama dia ikan duyung. Kedua cantik namanya ikan pari. Tapi kecantikan ‘perempuan’ simpanan saya ni tak setanding dengan kecantikan awak…” ucap Syahid dengan ketawa lantang.
Laila terkena. Merah wajahnya menahan rasa marah dan malu. Tetapi dia masih duduk membeku di hujung bot. Langsung tidak mempedulikan renungan daripada Syahid.
“Bencilah dengan kau ni…” omel Laila.
“Saya tahu awak cemburu walaupun awak cakap awak bencikan saya. Saya tak kisah. Telinga saya ni dah pekak dengar kata-kata benci daripada awak tu. Sekarang, saya nak awak turun dari bot saya ni dan pergi balik ke rumah.” Arah Syahid masih mampu bertenang.
Laila menggelengkan kepala. Dia duduk sambil berpeluk tubuh.
“Tak nak!” balas Laila.
“Kenapa awak ni degil sangat?” marah Syahid. Geram dengan sikap Laila yang enggan mengikut katanya.
“Suka hati akulah!” bentak Laila sambil menggosok hidungnya yang berair. Kesan selesema masih belum hilang sepenuhnya.
“Ikut awaklah. Kalau ada apa-apa berlaku, awak jangan salahkan saya!” Syahid mengalah. Dia mendengus geram.
Apabila tiada balasan daripada Laila, Syahid terus menolak bot hingga ke tengah laut. Sepanjang tempoh perjalanan mereka ke tengah laut, kedua insan itu hanya mendiamkan diri. Syahid memerhati laut yang terbentang luas. Inilah jiwanya. Sejak dia habis persekolahan, inilah tempatnya mencari rezeki. Menyara keluarga dengan penat lelah. Tapi kini segalanya berubah, gadis di hadapannya ini merubah segalanya.
Tiba-tiba Syahid menghentikan botnya. Laila tersentak. Lantas dia memandang wajah Syahid dengan riak terkejut.
“Kenapa kau berhenti kat tengah laut ni?” soal Laila.
Syahid terdiam. Dia mengeluarkan jala. Lalu jala tersebut ditebarkan ke laut.
“Dah lama ke kau buat kerja macam ni?” soal Laila. Suaranya mendatar.
Syahid memandang sekilas pada Laila. Dia tersenyum nipis sebelum menarik semula jala ke dalam bot. Hanya ikan kecil yang tersangkut di jalanya.
“Dah lama tu taklah tapi sejak lepas habis sekolah, saya turun ke laut. Kalau ada ikan saya jual dekat pasar depan tu. Kalau tak ada, kami sekeluarga makanlah apa yang ada. Saya tak sanggup lihat ibu sakit sebab saya tahu macam mana susah payahnya ibu jaga saya dan adik-adik. Walaupun saya bukan anak kandung ibu, tapi ibu tak bezakan saya dengan adik-adik yang lain. Saya bersyukur sebab Allah pertemukan saya dengan keluarga ibu, kalau tak saya tak tahu apa nasib saya…” luah Syahid dengan senyuman hambar.
Laila hanya tekun mendengar. Dia tidak menyangka kehidupan Syahid sesukar ini dan dia tidak menyangka nasib Syahid sama sepertinya. Sama-sama anak angkat.
“Ayah angkat kau meninggal sebab apa?” soal Laila lagi. Entah mengapa dia terasa ingin mengenali Syahid, lelaki yang dibenci itu.
“Ayah meninggal sebab lemas. Masa tu ayah ke laut cari ikan, kebetulan hari tu hujan lebat. Ombak pulak kuat. Lepas dua hari ayah hilang, barulah orang jumpa. Masa tu hanya Allah saja yang tahu perasaan saya dan ibu. Tapi ini ujian daripada Allah yang harus kami sekeluarga terima. Sebab itulah awak bertuah, Laila. Awak masih ada ayah kandung sedangkan saya, ayah dan ibu kandung saya dah meninggal dunia.” Ujar Syahid. Dia menghidupkan enjin bot dan bergerak ke tempat lain.
Laila mendiamkan diri. Dia hanya melemparkan pandangannya ke arah Syahid. Di sebalik wajah yang tenang itu rupa-rupanya tersimpan kedukaan yang tidak pernah diceritakan pada sesiapa pun. Egokah aku untuk tidak mahu mengenalinya? Soal hati Laila. Dia menundukkan wajah. Syahid mengingatkan dia dengan seseorang. Seseorang yang pernah mencuit hatinya.
“KENAPA ini yang awak buat pada saya? Awak janji nak hidup dengan saya tapi kenapa awak pilih perempuan lain, Zarul?” soal Laila dengan air mata mula menitis dari matanya.
“Bukan saya yang pilih tapi mak dan ayah saya kat kampung. Dia dah pilih perempuan lain untuk dijodohkan dengan saya. Saya dah cakap yang saya dah ada awak tapi mak dan ayah saya tak terima perempuan lain selain Zara.” Ujar Zarul sambil meraup wajahnya yang kusut.
Laila menggelengkan kepala. Dia rasakan itu bukan jawapan yang ingin didengar. Kalau benar-benar Zarul cintakannya, Zarul harus berjuang agar cinta mereka bersatu.
Deraian bunga-bunga yang bertaburan dipandang tanpa perasaan.
“Tapi awak tahu saya cintakan awak dan awak cintakan saya. Kita kahwin, Zarul! Sekarang kita kat luar Negara. Tiada sesiapa yang dapat halang kita kat sini,” ujar Laila. Lalu dia mencapai tangan Zarul. Jari jemari itu digenggam erat.
Zarul menggelengkan kepala.
“Tapi saya tak sanggup nak khianati mak dan ayah saya. Kita tinggal dekat sini bukannya lama, Laila. Tahun depan kita dah habis belajar. Sampai bila kita nak sorok hubungan kita ni daripada pengetahuan keluarga kita. Saya tak sanggup, Laila.” Ujar Zarul sambil menggelengkan kepalanya beberapa kali.
Laila melepaskan genggamannya. Dia tidak sangka itu yang akan diungkapkan oleh kekasih hatinya. Air mata semakin laju menuruni lekuk pipinya yang gebu.
“Sampai hati awak, Zarul. Selama ini saya sangkakan awak sungguh-sungguh cintakan saya tapi awak pengecut! Awak tahu tak saya benci lelaki pengecut!” marah Laila sambil menghentak kaki.
Zarul terdiam sambil menekur tanah. Kesejukan angin di kota London tidak mampu mententeramkan hatinya yang terpaksa berhadapan dengan Laila yang jelas kecewa dengan keputusan yang telah dilakukan.
“Apa pun yang awak katakan pada saya, saya terima, Laila. Satu hari awak akan faham. Saya Cuma mahu menjadi anak yang taat pada kedua ibu bapa saya. Saya ada di sini pun disebabkan ibu dan ayah saya. Saya harap awak faham, Laila.” Ujar Zarul perlahan.
Laila tersenyum sinis dengan matanya yang masih berair.
“Senangnya awak cakap, Zarul. Lepas awak kecewakan saya, awak minta saya faham? Awak yang tak faham dengan diri awak sendiri. Saya benci awak, Zarul! Awak buat saya jatuh cinta pada awak tapi kenapa awak yang harus kecewakan saya!” jerit Laila dengan hati yang terluka.
Dia menerpa ke arah Zarul lalu dada lelaki itu ditumbuk bertubi-tubi. Dia menangis semahu-mahunya.
Zarul menolak lembut tubuh Laila. Dia mengundurkan setapak ke belakang.
“Maafkan saya, Laila. Maafkan saya…” ucap Zarul kemudian meninggalkan Laila teresak-esak.
Inilah pengakhiran cinta pertamanya. Dia memang sukar untuk jatuh cinta tetapi apabila dia sudah jatuh cinta, dia dikecewakan. Sakit. Perit. Itulah yang dirasakan oleh Laila. Semenjak itu dia sudak bertekad, lelaki hanya untuk dipermainkan.
“ALAMAK, hujanlah pulak!” suara Syahid mengejutkan Laila ke dunia realiti.
Laila mendongak ke langit. Memang hujan sudah mula turun dari awan hitam. Laila menutup wajahnya yang mula disimbahi dengan air hujan.
“Macam mana ni? Kita kena balik!” Laila menguatkan suaranya apabila hujan mulai lebat. Basah kuyup bajunya.
Syahid memandang Laila yang memeluk tubuh sebelum matanya ditebarkan ke kawasan sekeliling. Sekarang, mereka berada di tengah laut. Jauh dari daratan sedangkan saat ini angin bertiup kencang menyebabkan bot yang mereka naiki sedikit terumbang-ambing. Dia harus bertindak pantas sebelum apa-apa perkara buruk berlaku kepada mereka berdua. Lantas, Syahid memecutkan botnya mencari tempat untuk mereka berteduh.
“Kau nak ke mana ni?” soal Laila mula gelabah apabila menyedari Syahid tidak berpatah balik menuju ke pantai tempat mereka mula-mula turun ke laut.
“Awak ikut je. Saya tahu apa yang saya buat!” suara Syahid sedikit meninggi kerana cuba melawan bunyi hujan yang mencurah-curah.
Syahid meraup wajah. Pedih mukanya apabila air hujan yang lebat mengenai tepat pada wajah. Dengan susah payah dia memacu bot sehingga mereka berdua sampai ke satu pulau yang kecil dan terpencil.
“Awak okey tak?” soal Syahid pada Laila yang kelihatan terketar-ketar.
Laila tidak mampu menjawab. Kesejukan akibat terkena hujan ditambah dengan angin yang bertiup kencang membuatkan dirinya menggigil. Sungguh kesejukan ini dapat dirasai hingga ke tulang hitam.
Syahid mulai risau apabila tiada jawapan daripada Laila. Lalu, Syahid turun dari bot dan menarik bot tersebut sehingga ke tepi pantai. Hujan yang lebat tidak diendahkan sebaliknya keselamatan Laila yang menjadi keutamaannya sekarang.
Setelah bot tersebut selamat didaratkan, Syahid dengan pantas mendapatkan Laila. Dia menghulurkan tangannya pada Laila yang masih duduk membeku di tempat duduknya. Demam Laila masih lagi belum sembuh sepenuhnya, dia yakin apabila terkena hujan pasti demam gadis itu semakin menjadi-jadi.
“Cepat, Laila. Kita kena berteduh. Awak tak sihat ni!” ujar Syahid.
Dengan bersusah payah dia menarik tubuh Laila. Tubuh isterinya itu ditarik dan dicempung lalu dibawa ke bawah pohon yang merendang. Air hujan yang jatuh bertimpa-timpa tidak dipedulikan.
Sampai di bawah pohon pokok yang merimbun, Syahid mendudukkan Laila. Dia menanggalkan kain pelekat yang dililitkan di kepala lalu diselimutkan ke tubuh Laila yang menggigil. Syahid duduk rapat di sebelah Laila sambil tubuh isterinya dirangkul kemas.
“Saya mintak maaf, saya bukan nak ambil kesempatan tapi awak sejuk sangat ni. Saya terpaksa peluk awak…” ujar Syahid. Sambil menggosok-gosok telapak tangan Laila. Mungkin dengan cara itu, Laila terasa hangat.
Laila tidak menjawab. Sekelip mata dia menjadi lemah kerana sememangnya dia alah dengan cuaca sejuk, cepat saja dia diserang selesema. Kehangatan tubuh Syahid yang menempel di tubuhnya memberikan dia sedikit haba. Walaupun pokok tempat mereka berteduh ini agak merimbun tetapi air hujan tetap mengenai mereka berdua.
“Seee…sejuk..sejuknya…” ucap Laila dengan terketar-ketar. Bibirnya kelihatan bergetar.
Syahid mulai resah melihat keadaan isterinya. Baharu dia tahu yang Laila tidak tahan sejuk. Dia mengetap bibir. Memikirkan apa yang patut dilakukan bagi membuatkan Laila selesa.
“Itulah awak, kan saya dah larang tadi jangan ikut saya. Tapi awak degil. Tengok sekarang siapa yang susah, awak jugak kan?” sempat lagi Syahid membebel. Dia memeluk kemas bahu Laila.
Laila tidak menjawab. Dia memegang kejap kain melekat yang menyelimuti tubuhnya. Sebelum perlahan-lahan dia menyandarkan kepalanya di bahu Syahid.
Syahid tersentak. Dia berpaling ke sisi. Lama dia merenung wajah Laila yang sedang memejamkan mata. Namun, tidak lama kemudian bibirnya mengukir senyuman nipis. Rambut Laila yang basah dibelai lembut sebelum tangannya menarik pinggang Laila supaya lebih rapat. Pelukan diperkemaskan sedangkan Laila diam tanpa sedikit pun membantah perbuatan Syahid. Keadaan yang sejuk dan dingin menghalang dia untuk bersikap kasar dengan Syahid. Sedangkan Syahid terus melebarkan senyuman.
Komentar
Posting Komentar